BERKONGSI NIKMAT IMAN, ISLAM ALLAHHU AKBAR

Monday, December 7, 2009

PENDIRIAN SYARA' TERHADAP SIHIR DAN PENGAMALANYA...



Sihir adalah termasuk dalam tujuh dosa besar yang disenaraikan oleh nabi sallallah alaihi wasallam yang mesti dijauhi. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah sallallah alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:

“Jauhkanlah diri kamu dari tujuh perkara yang membinasakan. Mereka ( sahabat ) bertanya: Apakah perkara-perkara itu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Menyukutukan Allah( syirik ), sihir, membunuh jiwa manusia yang diharamkan Allah kecuali dengan perkara yang benar, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan menuduh wanita-wanita mukminah yang suci ( dengan tuduhan dusta ) ”

( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah sallallah alaihi wasallam telah bersabda:

“Sesiapa yang menyimpulkan satu simpulan kemudian meniupkan padanya maka dia telah melakukan sihir, dan sesiapa yang melakukan sihir maka dia melakukan syirik, dan sesiapa yang bergantung kepada sesuatu maka akan diserahkan kepadanya”

Telah berkata Imam an-Nawawi rahimahullah dalam Syarah Muslim: ‘Perbuatan sihir itu adalah haram dan ianya termasuk dosa-dosa besar secara Ijma’. Nabi telah menyenaraikannya dalam tujuh dosa yang besar.

Hukum yang Dikenakan terhadap Pengamal Sihir

Ulama berselisih pendapat tentang hukum yang perlu dikenakan terhadap pengamal sihir atau tukang sihir. Berkata Abu Bakar al-Jassos: ‘ Telah bersepakat ulama salaf atas wajibnya membunuh tukang sihir, sebahagiannya menjelaskan ini adalah disebabkan kekufurannya kerana sabda Nabi sallallah alaihi wasallam yang bermaksud:‘ Sesiapa yang mendatangi tukang tilik, tenung nasib atau ahli sihir lalu dia membenarkannya, maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad’.Manakala ulama Feqh juga turut berselisih pendapat tentang perkara ini. ( Tafsir Ayat al-Ahkam Lissobuni )

Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah telah berpendapat: Tukang sihir itu hendaklah dibunuh sekiranya diketahui dia mengamalkan sihir tanpa perlu diberi peluang supaya bertaubat ( istitabah ). Dan tidaklah diterima dakwaannya: ‘Saya telah meniggalkan sihir dan telah bertaubat’. Sekiranya dia mengaku maka halallah darahnya, begitu juga hukumnya terhadap hamba yang muslim dan kafir Zimmi sekiranya merekamembuat pengakuan mengamalkan sihir.

Kata Ibn Syuja’: Maka dihukum terhadap pengamal sihir lelaki atau perempuan itu sebagai murtad.


Diriwayatkan pula dari Imam Malik berkenaan dengan seorang muslim jika dia mengamalkan sihir maka hendaklah dihukum bunuh tanpa perlu diberi peluang supaya bertaubat ( istitabah ). Ini adalah disebabkan seorang muslim itu jika batinnya murtad maka tidaklah diketahui taubatnya dengan zahir keislamannya ( maka dia dihukum bunuh ). Sementara ahli sihir dari kalangan ahli kitab tidaklah dihukum bunuh di sisi Malik kecuali dia memudaratkan muslimin.

Sementara Imam as-Syafii pula berpendapat: ‘ Tidaklah dia menjadi kufur dengan sihirnya itu. Sekiranya dia membunuh dengan menggunakan sihirnya itu dan katanya: ‘Sihirku ini memang dapat membunuh’ maka dia dihukum bunuh ( qisas ). Sekiranya dia berkata: ‘ Sihirku adakalanya boleh membunuh dab adakalanya tidak menjadi maka dia dihukum dengan membayar diyat ’.
( Tafsir Ayat al-Ahkam Lissobuni ). Sementara itu di dalam Nailul Authar dinukilkan pendapat beliau: ‘ Ahli sihir itu dibunuh apabila sihirnya itu boleh menyebabkan kekufuran’

Imam Ahmad berpendapat: Dia tetap menjadi kufur dengan sihirnya itu samada dia melakukan pembunuhan dengan sihirnya itu atau tidak. Berkenaan samada taubatnya diterima atau tidak terdapat dua riwayat di sisi Hanabilah. Manakala ahli sihir dari kalangan ahli kitab, mazhab ini bersependapat dengan Malik iaitu tidaklah dihukum bunuh kecuali dia memudaratkan muslimin

0 Siapa Bran Komen Ni..!:

 

blogger templates | Make Money Online