HIASI DIRI DENGAN AKHLAK PARA NABI
Orang soleh menghiasi diri dengan akhlak anbia
UMUMNYA setiap individu mempunyai tanggungjawab memperbaiki (islah) diri dan keluarga masing-masing. Apabila setiap individu itu berada di landasan iman dan sentiasa memelihara nilai baik, maka seluruh masyarakat akan menjadi baik, insya-Allah. Sebenarnya konsep pembinaan masyarakat bertamadun, bergantung kepada buruk atau baik akhlak setiap individunya.Firman Allah bermaksud,
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dikurniakan kepada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” – (Al-Anfal 53).
Ayat itu jelas menunjukkan Allah hanya mahukan hamba-Nya berada dalam keadaan kedamaian, kebaikan dan kemuliaan. Allah tidak menghukum hambanya tanpa ada sebab daripada diri mereka sendiri. Rosaknya masyarakat adalah kerana rosak moral pemimpinnya.
Rijal memimpin Nisa'Sabda Rasulullah: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Raja (ketua negara) adalah pemimpin dan ia bertanggunjawab terhadap rakyatnya. Orang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Wanita juga adalah pemimpin di rumah suaminya. Dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya.“Hamba juga adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab ke atas harta benda tuannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan masing-masing bertanggungjawab terhadap pimpinannya.Daripada hadis ini, nyata setiap orang itu mempunyai komitmen dalam membaiki (islah) orang yang dibawah jagaannya. Tanggungjawab itu terpikul di atas bahu setiap orang walau di peringkat mana mereka berada. Raja terhadap rakyatnya, pemimpin terhadap orang yang dipimpin, guru terhadap murid, majikan terhadap pekerja, bapa dan ibu terhadap anak-anak dan seterusnya.Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud; “Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih di kalangan kamu, bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di muka bumi, sebagaimana ia menjadikan orang yang sebelum mereka, khalifah yang berkuasa, dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang diredai-Nya.“Dan ia juga menggantikan bagi mereka keamanan selepas mereka mengalami ketakutan. Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak menyengutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan ingatlah sesiapa yang kufur sesudah itu, merekalah orang yang fasik. – (An Nur, 55).Jelas daripada ayat itu setiap orang adalah khalifah (pemimpin) di muka bumi ini. Ini diperkukuh pula dengan asal kejadian manusia seperti firman-Nya yang bermaksud; “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi (manusia daripada keturunan Adam).” – (Al Baqarah, 30).Dari apa yang dapat dinyatakan di dalam al-Quran dan apa yang berlaku sehari-hari, rosaknya masyarakat disebabkan rosaknya akhlak pemimpin. Rosaknya remaja adalah kerana rosaknya akhlak orang tua.Ini dijelaskan oleh al-Quran dalam firman Allah bermaksud; “Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap negeri orang besar (pemimpin) yang jahat dan mereka melakukan penipuan di dalamnya, pada hal tiada mereka memperdayakan melainkan diri sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.” – (Al-An-am, 123). Di dalam keluarga, misalnya akhlak orang yang lebih tua sangat mempengaruhi mereka yang masih muda. Pepatah Melayu menyebutkan bapa borek anaknya rintik.Antara akhlak jelek orang tua ialah penyelewengan kuasa dan rasuah. Jika akhlak jelek ini berleluasa dan berterusan maka masyarakat akan hancur. Perundangan, peraturan dan disiplin tidak akan dapat ditegakkan lagi.Tepat seperti yang digambarkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan orang yang melampau itu supaya taat, lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. – (Al-Israk, 16).Maka amat teranglah orang yang mampu memperbaiki masyarakat adalah orang yang berakhlak mulia. Orang yang fasik dan rosak akhlaknya tidak akan berusaha memperbaiki orang lain. Malah bumi ini pun adalah untuk orang yang baik.Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya bumi ini akan diwarisi hamba-Ku yang salih. - (Al-Anbiya, 105).Dari ayat ini dapat diambil satu kaedah landasan pembinaan generasi adalah berasaskan kualiti manusia yang memimpin. Landasannya adalah ilmu (intelektual) akal, ruhani serta akhlak yang mulia.
Antara ciri orang yang salih ialah beriman teguh kepada Allah dan rasul-Nya. Menghiasi diri dengan akhlak anbiya. Berkorban untuk menegakkan syariat. Mendorong amar makruf. Berusaha mencegah dan menegah kemungkaran. Berlaku adil dan membantu kalangan yang memerlukan.Inilah ciri mereka yang diberi kepercayaan untuk membina dan memperbaiki generasi ummah yang diredai.
0 Siapa Bran Komen Ni..!:
Post a Comment