BERKONGSI NIKMAT IMAN, ISLAM ALLAHHU AKBAR

Wednesday, November 2, 2011

PENGORBANAN DALAM MENTAATI ALLAH...

SELEPAS dua bulan kita meraikan Aidilfitri, hari kemenangan ke atas tuntutan nafsu, tidak lama lagi kita menyambut hari kegembiraan dan pengorbanan mengingati Allah, iaitu Aidiladha. Pengajaran terpenting Aidiladha ialah memperingatkan diri kita mengenai pengorbanan, seorang ayah dan anaknya dalam melaksanakan perintah Allah.

Lihatlah nilai yang tersemai dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Pertama, kedua-duanya dengan keteguhan iman dan takwa berkeyakinan penuh akan ketetapan Allah dan tidak berganjak sedikitpun dalam menjalankan perintah-Nya.

Kedua, nilai kesabaran. Nabi Ibrahim dan Ismail amat sabar dalam mengharungi cabaran dihadapi serta tabah dalam menunaikan tanggungjawab. Sanggup berkorban inilah nilai dikehendaki setiap Muslim dalam membangunkan diri untuk menuju ke arah masyarakat cemerlang. Nilai ini amat penting dan perlu disemai dalam diri kita, keluarga serta masyarakat.

Marilah kita lihat akan kepentingan nilai pengorbanan ini supaya kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan seharian. Nilai iman dan keyakinan penuh akan ketetapan Allah bermaksud reda akan ketetapan dan takdir Allah.

Kita sebagai seorang yang beriman perlu percaya akan semua ketetapan ditetapkan Allah. Seorang hamba mestilah sentiasa menerima akan bahagian rezeki yang Allah kurniakan. Inilah sebenarnya kekuatan yang ada pada seorang yang beriman di mana dengan kekuatan iman pada Allah dan prinsip yang teguh dalam dirinya, dia akan menjadi seorang yang mampu untuk berkorban atas dasar mendapat keredaan Allah.

Seorang bapa dengan penuh keimanan akan berkorban sedaya upaya berusaha dalam mencari nafkah bagi keluarganya dan membangunkan mereka dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa apa saja usaha dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah dan dengan usahanya keluarga yang dibangunkan menjadi sebuah keluarga Islam yang boleh menjadi tunjang kekuatan masyarakat.

Begitu juga seorang ibu pastinya dengan keimanan yang teguh akan mendidik anak-anaknya dengan prinsip agama dan sentiasa berdoa kepada Allah agar menjadikan anak-anak itu orang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

Inilah pengorbanan yang sering kita lakukan. Pengorbanan ini akan lebih bermakna apabila tersemat di dalam hati bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan hanya untuk mendapatkan keredaan Allah.

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zali Engku Alwi

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
Ceriterakanlah kepada mereka kisah kedua putra Adam (Habil dan Kabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan kurban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Kabil). Ia berkata (Kabil): ""Aku pasti membunuhmu!"" Berkata Habil: ""Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa
(Surah Al-Maidah 5: Ayat 27)

0 Siapa Bran Komen Ni..!:

 

blogger templates | Make Money Online