Monday, October 31, 2011
Saturday, August 20, 2011
Setiap orang yang beriman sentiasa menanti-nanti saat malam 10 akhir Ramadhan kerana padanya terdapat satu malam yang utama yang dinamakan "Malam al-Qadar".
Malam tersebut sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah dan RasulNya sebagai malam:
1) Allah turunkan padanya al-Quran (Surah al-Qadar: 1)
2) Beribadat padanya lebih baik daripada beribadat seribu bulan (Surah al-Qadar: 3)
3) Turun padanya para malaikat dan Jibril ke bumi membawa rahmat, keberkatan, ketenangan dan urusan taqdir Allah yang akan berlaku dalam setahun akan datang (Surah al-Qadar: 4, dan Surah ad-Dukhaa-n: 4,5)
4) Dipenuhi dan diliputi kesejahteraan hingga terbit fajar (Surah al-Qadar: 5)
5) Sesiapa yang beribadat padanya dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan baik/pahala dari Allah maka diampun baginya dosa-dosanya yang telah lalu (Riwayat al-Bukhari: 2014, Muslim: 760)
6) Terjadi pada malam yang ganjil (Riwayat al-Bukhari: 2018, Muslim: 1167)
Didalam usaha mencari Lailatul Qadar ini banyak khurafat, pegangan yang menyeleweng dan dogengan palsu yang tersebar didalam kitab-kitab dan cerita-cerita tentang alamat/tanda malam tersebut seperti pokok bersujud, air laut menjadi tawar, anjing tidak menyalak dan lain-lain lagi. Lebih dahsyat lagi di zaman kita ini tanda-tanda dongeng ini disebarkan oleh agamawan-agamawan yang tidak berdiri diatas disiplin ilmu yang berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah melalui media cetak dan elektronik. Dengan itu ia terus berkembang den tersebar sepanjang tahun apabila munculnya bulan Ramadhan.
Adalah mustahil malam yamg begitu besar kedudukan dan keutamaan ini tidak dijelaskan tanda-tandanya oleh Allah dan Rasul sehinggakan para agamawan boleh mencipta tanda-tandanya. Apa yang pasti Rasulullah SAW telah menjelaskan tanda-tanda malam tersebut di dalam hadith-hadith berikut:
Pertama: Hadith riwayat at-Thobaraa-ni (Jilid 22/mukasurat 59), Soheh al-Jaa-mi' (5472), ad-Dho'iefah (4404) Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
Lailatul Qadar malamnya terang, tidak panas dan tidak sejuk, tiada lontaran tahi bintang dan tanda keesokkan harinya matahari terbit dalam keadaan suram cahayanya.
Di dalam riwayat ini terdapat beberapa tanda:
1) Malamnya terang (yakni langitnya terang, keadaan cuacanya baik)
2) Udara pada malam tersebut tidak panas dan tidak sejuk
3) Tiada lontaran tahi bintang di langit
4) Cahaya matahari keesokannya terbit dalam keadaan suram kekuning-kuningan kemerah-merahan
Kedua: Hadith riwayat at-Thoyaa-lisi (349), Ibnu Khuzaimah (2192), al-Bazzaa-r (1034) Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
Lailatul Qadar malamnya rasa seronok, bercuaca baik, tidak panas dan tidak sejuk serta keesokannya matahari terpancar pada waktu pagi cahayanya lemah kemerah-merahan.
Sementara dalam riwayat ini terdapat satu lagi tanda:
5) Malam tersebut hati rasa seronok, tenang, tenteram, lazat beribadat kerana ramainya jumlah malaikat yang turun ke bumi
Demikian tanda-tanda yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW untuk mengenali Lailatul Qadar. Semestinya setiap ummat meninggalkan dogengan para agamawan yang mencipta dan menokok tambah sesuatu yang tidak ada asalnya di dalam Agama yang diturunkan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang mencintai dan menghidupkan sunnah RasulNya SAW.
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
[Surah Al-Qadr 97: Ayat 1-5]
Dicatat oleh MUHAMMAD FITRI BIN HJ SHUAIB di 10:55 PM 0 Siapa Bran Komen Ni..!
Monday, August 15, 2011
"Sesiapa bangun (untuk mengerjakan ibadah) pada malam al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Malam 1000 Bulan Gandaan
"Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan". (al-Qadar: 3)
Menurut kebanyakan ahli Tafsir, ayat ini memberi pengertian kepada kita bahawa beramal pada malam al-Qadar atau lailatul-Qadar lebih baik dari beramal selama 1000 bulan yang tidak ada lailatul-Qadar (malam al-Qadar) di dalamnya. (Rujuk: al-Asas fi at-tafsir, Said Hawa, surah al-Qadr)
"Sesiapa bangun (untuk mengerjakan ibadah) pada malam al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Menurut penjelasan beberapa hadis Rasulullah s.a.w., lailatul-Qadar ini terdapat di sepuluh malam terakhir Ramadhan iaitu pada malam-malam ganjil darinya. Kerana itulah, Rasulullah menggiatkan ibadahnya pada malam-malam tersebut termasuklah beriktikaf di masjid sebagaimana yang telah kita jelas tadi. Sabda baginda;
"Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)
"Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan". (Riwayat Imam Bukhari)
Menurut ulama', sekurang-kurangnya qiyam lailatil-Qadr (yakni bangun mengerjakan ibadah pada malam al-Qadar untuk mendapatkan kelebihannya) ialah dengan seseorang itu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjamaah. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam satu hadisnya;
"Sesiapa menunaikan solat Isyak berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail separuh malam. Dan sesiapa menunaikan solat subuh berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail keseluruhan malam". (Riwayat Imam Muslim dari Ustman r.a.)
Namun demikian, yang paling sempurna ialah dengan memenuhi keseluruhan malam atau sebahagian besarnya dengan solat, bacaan al-Quran, zikir atau seumpamanya dari jenis-jenis ketaatan. (Rujuk: at-Tajul Jami' Lil-Ushul, Syeikh Manshur 'Ali Nashif, jil. 2, hlm. 80)
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَاْنَ
"Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan".
(Riwayat Imam Bukhari)
Dicatat oleh MUHAMMAD FITRI BIN HJ SHUAIB di 10:47 PM 0 Siapa Bran Komen Ni..!
Tuesday, August 9, 2011
ALLAH MAHA BESAR...
Tiada Bil Dari ALLAH, Maka Bersyukurlah.....
Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah, Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai.
Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan, dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.
Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Setiap bulan pelbagai jenis bil akan menghiasi ruang hidup kita. Bil air, elektrik, insurans, kereta, cukai dan sebagainya. Kenapa perlu membayar bil?
Bil dibayar kerana kita telah mengunakan sumber atau perkhidmatan daripada pihak tertentu. Setiap perkhidmatan yang kita gunakan sudah tentu perlu dibayar.
Pembekal dan pengguna. Kitarannya adalah sama setiap masa.
Namun, sedarkah kita bahawa ada suatu perkhidmatan yang kita guna tanpa sebarang bayaran dari pembekalnya? Perkhidmatan itu ialah nikmat daripada Allah s.w.t. Segala macam nikmat yang diberikan Allah kepada kita, tanpa kita mengeluarkan satu sen pun.
Semuanya percuma. Ya, segala nikmat itu percuma maka sebab itulah kita semua jarang sekali bersyukur.
Cuba kita mengambil jalan untuk menghitung nikmat Allah. Pasti suatu yang mustahil kerana nikmat Allah itu sungguh luas dan tidak terkira banyaknya.
Firman Allah s.w.t :
"Dan sekiranya engkau menghitung nikmat-nikmat Allah, (pasti) ia tidak akan terhitung." [brahim:34]
Ini adalah antara nikmat Allah s.w.t kepada kita tanpa bayaran. Mari berfikir bersama-sama.
Nikmat Tubuh Badan
01. Mata
02. Telinga
03. Hidung
04. Tangan
05. Otak
06. Perut
07. Kaki dan anggota lain
08. Bernafas
09. Melihat
10. Mendengar
11. Merasa
12. Bau
Nikmat Pada Alam Untuk Manusia
1. Haiwan dan tumbuhan untuk makanan
2. Oksigen untuk pernafasan
3. Matahari untuk sumber cahaya
4. Air sebagai minuman
5. Tanah sebagai kediaman dan nikmat yang lainnya
Jadi cuba kita renungkan sebentar, antara nikmat yang disenaraikan di atas, yang mana satu kita keluarkan bayaran kepada Allah s.w.t.?
Tiada suatu pun yang kita bayar. Semuanya diberikan Allah untuk kita secara percuma namun mengapa sedikit sekali kita bersyukur.
Firman Allah s.w.t :
"Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur." [As-Sajdah:9]
Andai Allah s.w.t mengenakan bayaran di atas setiap nikmat yang diberikan pasti tiada siapa mampu membayarnya, hatta jutawan terkaya di dunia sekalipun. Sifirnya mudah sahaja, andaikan setiap nafas yang disedut dikenakan bayaran RM1.00 atau mungkin lebih rendah, RM0.10.
Dalam satu jam berapa kali anda bernafas? Satu bulan? Satu tahun? Selama hayat? Kajian menunjukkan manusia bernafas 18-30 ribu kali sehari. Itu hanyalah pernafasan.
Andaikan nikmat yang lain juga dibayar dengan kadar yang sama sahaja, kita tidak akan mampu membayarnya.
Allah berfirman dalam surah Yassin :
"Dan mereka memperoleh berbagai manfaat dan minuman darinya. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?" [Yassin:73]
Bayangkan pula jika bil yang Allah keluarkan tidak mampu kita bayar, dan tertunggak seperti bil air atau elektrik. Suatu masa bil amaran akan dikeluarkan untuk pemotongan.
Jika Allah melakukan sedemikian rupa, iaitu dengan memotong atau memberhentikan pemberian nikmat yang kita tidak bayar, bukankah kita pasti dalam ketakutan yang tidak dapat digambarkan?
Allah menggambarkan mereka yang tidak bersyukur adalah orang yang ingkar dan zalim dalam firman-Nya:
"Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)." [Ibrahim:34]
Nikmat yang tidak dibayar ini menjadikan kita lupa dan lalai. Bersyukurlah wahai diriku dan sekalian saudaraku.
Sekurang-kurangnya lafazkan ucapan Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah) yang dinyatakan dalam al-Quran hampir 21 kali.
Taatlah pada perintah-Nya dan tinggalkanlah apa yang dilarang. Itu adalah tanda syukur kita selain daripada ungkapan Alhamdulillah.
Moga redha Allah sentiasa bersama kita semua, hamba yang alpa lagi penuh noda.
Dicatat oleh MUHAMMAD FITRI BIN HJ SHUAIB di 9:07 AM 0 Siapa Bran Komen Ni..!
Friday, July 29, 2011
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Berbicara tentang Ramadhan, kebiasaannya itulah detik-detik terbaik seorang Muslim dalam setahun. Selama hampir 30 hari ia akan habiskan sebahagian masanya untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Rela atau terpaksa.
Musim ia mengingati Tuhannya, Penciptanya, Pemberi Rezeki dan nyawanya. Sedangkan seringkali ia lalai mengingatinya di bulan-bulan yang lain. Hebatnya Ramadhan.
Ramadhan dan puasa memaksa ia melawan nafsu, khususnya nafsu makan. Ajaibnya ia berjaya melakukannya. Dalam keadaan ikhlas atau terpaksa. Perkara yang sama hampir mustahil dilakukan di luar bulan Ramadhan kecuali mereka yang terlantar di ICU atau hilang selera makan. Hebatnya Ramadhan.
Ramadhan dan terawih mengajar ia menggandakan amalan. Bukan berpada dengan yang wajib, bahkan kena juga bagi ruang untuk yang sunat. Amalan ini menjadikan Imannya naik sedarjat dari bulan-bulan biasa. Waktu ini ia tahu jalan ke masjid. Kenal tuan imam. Tahu waktu solat terutamanya Subuh dan Maghrib. Yang mungkin selama hampir setahun ia tak ambil kisah. Bahkan bulan ini ia bergegas mencari jadual solat kerana di dalamnya tercatat waktu berbuka puasa. Adapun di bulan yang lain, jadual solat jarang sekali tergantung di dinding rumahnya. Hebatnya Ramadhan.
Ramadhan dan sungkai (berbuka puasa) mengajar Muslim erti kekeluargaan dan persaudaraan, kecuali yang mengekalkan sifat kedekutnya sanggup berbuka bersendirian. Bulan ini orang cepat balik ke rumah. Berbuka dengan isteri dan anak-anak. Waktu ini ramai ibu bapa yang baru faham gelagat dan sifat anak anak. Sudah agak lama tidak makan bersama. Waktu ini baru sedar akan kewujudan jiran sebelah, maklumlah setiap hari ia menghantar semangkuk juadah berbuka. Malu pula kalau dikembalikan kosong. Dulu, masing-masing sibuk bekerja. Keluar awal pagi dan pulang larut malam. Mencari rezeki. Ramadhan mengubah sekejap rentak hidup mereka. Hebatnya Ramadhan.
Itulah keseronokan bulan Ramadhan menurut pandangan Iman. Selagi masih ada Iman dan takwa (walau kadangkala tertutup oleh hubb al-dunia). Ramadhan pasti mengubahnya. Walau sekejap..
Bagi mereka yang Imannya sudah padam, mereka ini tidak mampu membezakan antara Ramadhan dan bulan biasa. Mereka ini tidak ada yang berubah. Kalau ia sedar pun cuma kerana wujudnya bazar Ramadhan di merata tempat. Menyeronokkannya membeli belah untuk berbuka sebelum tiba masanya. Orang ini sangat malang nasibnya. Sangat kecil akalnya walau memiliki ijazah peringkat tertinggi. Kalau Ramadhan pun tidak mampu mengubahnya, entah di bulan bila lagi ia mampu melakukannya?
Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi seperti yang disebut dalam hadis:
عن جابر بن سمرة أتاني جبريل فقال : يا محمد ! من أدرك أحد والديه فمات فدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين قال : يا محمد من أدرك شهر رمضان فمات فلم يغفر له فأدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين قال : و من ذكرت عنده فلم يصل عليك فمات فدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين
Dari Jabir bin Samurah radhiyallahu'anhu, Rasulullah S.A.W bersabda: "Aku menjumpai Jibril, kemudian dia berkata: "Wahai Muhammad, barangsiapa yang menjumpai salah seorang dari kedua orang tuanya kemudian ia meninggal, kemudian ia dimasukkan ke Neraka, semoga Allah melaknatnya." Rasulullah S.A.W bersabda, "Amin." Jibril berkata, "Wahai Muhammad, barangsiapa yang menjumpai bulan Ramadhan kemudian ia meninggal, dan tidak diampunkan dosanya, maka dimasukkan ia ke Neraka, semoga Allah melaknatnya." Rasulullah S.A.W, "Amin." Jibril berkata, "Wahai Muhammad, barangsiapa yang engkau disebutkan padanya ia tidak berselawat kemudian meninggal dan dimasukkan ke Neraka, semoga Allah melaknatnya." Rasulullah S.A.W, "Amin."
al-Jami'ush Shoghir wa Ziyadatuhu 75 (1/8)
(Hadis riwayat An-Nasaie)
Dicatat oleh MUHAMMAD FITRI BIN HJ SHUAIB di 7:03 AM 0 Siapa Bran Komen Ni..!
Wednesday, July 13, 2011
PERSEDIAAN UMAT ISLAM MENJELANG RAMADHAN
Realitinya, apabila sesuatu tempat atau sesuatu majlis bakal dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin, selebriti, artis terkenal atau orang kenamaan adalah menjadi kelaziman kita bertungkus lumus membuat perancangan dan persediaan rapi. Kita sedaya upaya mengelak daripada berlakunya kekurangan dan cacat cela semata-mata meraikan kehadirannya.
Mungkin kita alpa dan leka, kedatangan bulan Ramadhan adalah seperti bulan-bulan biasa, tidak diendahkan bahkan ada yang merasakan kedatangannya memeritkan kerana terpaksa menahan diri dari lapar dan dahaga.
Anehnya wahai manusia, belum bermula Ramadhan sudah berkira-kira untuk membuat persediaan menyambut Syawal. Langsir sudah ditempah, rumah mungkin sudah dicat baru, perabot diganti baru. Tidak ketinggalan mereka yang sudah berkira-kira menerima tempahan kuih raya. Media elektronik pula sibuk dengan persediaan drama syawal, dan rakaman lagu sempena hari raya. Alangkah bertuahnya sekiranya persiapan yang sebegini rapi kita lakukan sempena menyambut ketibaan Ramadhan yang dinanti-nantikan.
Yang Bermaksud: Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: Bahwa sesungguhnya Rasulullah saw. pernah bersabda : Ketika datang bulan Ramadhan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, Syaitan- Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini). ( HR. Ahmad )
Jika dihayati mafhum hadith, mana mungkin seseorang yang tinggi keimanannya tidak bergembira dengan berita akan tibanya satu bulan yang dibuka padanya seluruh pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka. Beginilah keadaanya Rasulullah dan para sahabat yang ternanti-nanti bahkan rindu dengan kehadiran Ramadhan sehingga Baginda Rasulullah SAW mula membuat persedian menyambut Ramadhan seawal bulan Syaaban.
Baginda Rasulullah SAW seorang yang sering malaksanakan ibadah puasa sunat dan baginda tidak dilihat memperbanyakkan ibadah puasa melainkan pada bulan syaaban.
“Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadith Riwayat Bukhori )
Hikmah perbuatan rasulullah yang memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban boleh dikiaskan kepada kita sebagai suatu bentuk sesi latihan untuk menghadapi sebulan berpuasa. Bayangkan dengan amalan puasa sunat yang jarang-jarang atau tidak pernah kita lakukan, secara tiba-tiba kita terus berpuasa selama sebulan mungkin memberi kesan tahap kesempurnaan ibadah dan juga kesihatan tubuh badan. Ibn Rajab di dalam kitabnya Latoif al-Ma’a rif menyebut: Sesungguhnya puasa bulan Syaaban merupakan latihan sebelum berpuasa pada bulan Ramadhan ,agar apabila telah masuk Ramadhan seseorang itu tidak merasa beban dan kesukaran. Selain daripada itu ia akan menjadikan orang yang berpuasa pada bulan Syaaban dapat merasai nikmat dan kelazatan berpuasa seterusnya apabila masuknya Ramadhan berpuasa dalam keadaan kuat dan cergas.
Antara amalan yang boleh dimulakan seawal mungkin ialah membaca al-Quran. Anas bin Malik sahabat Baginda SAW berkata: Apabila masuk bulan Syaaban, Umat Islam pada ketika itu menumpukan sepenuh perhatian membaca al-Quran. Berkata seorang ahli Salaf: Bulan Syaaban adalah bulan pembaca-pembaca al-Quran, Sesiapa yang istiqamah dan dapat memelihara amalan membaca al-Quran sebelum Ramadhan nescaya dia dapat memeliharanya sehingga bulan Ramadhan.
Pernah diceritakan, seorang muslim yang sudah lama meninggalkan bacaan al-Quran merasa terlalu berat dan malas untuk membaca walaupun baru membaca beberapa potong ayat.. Maka dia dinasihatkan agar terus-menerus membaca al-Quran. Apabila dia telah membaca sekitar 2/3 al-Quran, perasaan malas dan berat itu hilang sebaliknya dia semakin minat untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Keadaan inilah yang biasa berlaku kepada mereka yang jarang dan lalai membacanya. Oleh yang demikian memperbanyakkan membaca al-Quran di bulan Syaaban mampu menjernihkan hati sehingga hati dipenuhi dengan cahaya dan memudahkan jiwa untuk tunduk melaksanakan ibadah di dalam bulan Ramadhan.
Sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang ramadhan. Antara yang lain ialah:
1) Persediaan ilmu agama.
Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada. Dikhuatiri ibadah yang diharapkan mendapat pahala sebaliknya tidak diterima malahan mendapat dosa. Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau melayari internet. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.
2) Persediaan kesihatan.
Ibadah puasa melibatkan kesihatan tubuh badan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan puasalah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan solat sunat tarawih, qiamullail , membaca al –Quran, iktikaf dan sebagainya.
Penjagaan kesihatan ini termasuklah menjaga pemakanan yang seimbang, riadah dan menjauhkan diri dari perkara yang mendatangkan penyakit seperti tabiat merokok.
3) Persediaan dari sudut kewangan.
Di antara amalan yang begitu mulia dalam bulan Ramadhan ialah bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a:
“Rasulullah saw ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (HR. Bukhari)
Mereka yang jarang-jarang bersedekah dikhuatiri tidak memanfaatkan peluang memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadhan. Sebagai persediaan, kita disarankan agar mula berjinak-jinak dengan amalan bersedekah. Mungkin ia boleh dimulakan dengan jumlah yang kecil atau menderma di tabung-tabung masjid dan surau. Mudah-mudahan lama kelamaan sifit kikir dan bakhil itu dapat dibuang secara beransur-ansur.
Bagi mendapat kelebihan bulan Ramadhan , kita juga harus menangguhkan sedekah pada bulan-bulan lain semata-mata untuk disedekahkan pada bulan Ramadhan dengan syarat ia bukanlah sedekah yang dihajati seperti orang fakir miskin yang memerlukan dan orang dalam keadaan susah dan berhutang.
4) Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan.
Di antara persiapan lain yang perlu ada ialah memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Hal ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita untuk membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika diwar-warkan. Contoh mudah, bagaimanakah perasaan kita di saat diwar-warkan sesuatu sambutan yang besar, seperti Piala Dunia Bola Sepak. Pada ketika itu seluruh saluran media hebat membuat promosi. Kesannya seluruh masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia ternanti-nanti dan merasai bahang temasya tersebut. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemulian dan ganjarannya oleh media massa dan seluruh umat Islam.
Dicatat oleh MUHAMMAD FITRI BIN HJ SHUAIB di 7:57 PM 0 Siapa Bran Komen Ni..!
Monday, July 4, 2011
Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.
Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.
Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.
Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
Waktu Zuhur
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?
Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita
Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.
Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinyaDicatat oleh MUHAMMAD FITRI BIN HJ SHUAIB di 1:37 AM 0 Siapa Bran Komen Ni..!






