BERKONGSI NIKMAT IMAN, ISLAM ALLAHHU AKBAR

Wednesday, November 2, 2011

PENGORBANAN DALAM MENTAATI ALLAH...

SELEPAS dua bulan kita meraikan Aidilfitri, hari kemenangan ke atas tuntutan nafsu, tidak lama lagi kita menyambut hari kegembiraan dan pengorbanan mengingati Allah, iaitu Aidiladha. Pengajaran terpenting Aidiladha ialah memperingatkan diri kita mengenai pengorbanan, seorang ayah dan anaknya dalam melaksanakan perintah Allah.

Lihatlah nilai yang tersemai dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Pertama, kedua-duanya dengan keteguhan iman dan takwa berkeyakinan penuh akan ketetapan Allah dan tidak berganjak sedikitpun dalam menjalankan perintah-Nya.

Kedua, nilai kesabaran. Nabi Ibrahim dan Ismail amat sabar dalam mengharungi cabaran dihadapi serta tabah dalam menunaikan tanggungjawab. Sanggup berkorban inilah nilai dikehendaki setiap Muslim dalam membangunkan diri untuk menuju ke arah masyarakat cemerlang. Nilai ini amat penting dan perlu disemai dalam diri kita, keluarga serta masyarakat.

Marilah kita lihat akan kepentingan nilai pengorbanan ini supaya kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan seharian. Nilai iman dan keyakinan penuh akan ketetapan Allah bermaksud reda akan ketetapan dan takdir Allah.

Kita sebagai seorang yang beriman perlu percaya akan semua ketetapan ditetapkan Allah. Seorang hamba mestilah sentiasa menerima akan bahagian rezeki yang Allah kurniakan. Inilah sebenarnya kekuatan yang ada pada seorang yang beriman di mana dengan kekuatan iman pada Allah dan prinsip yang teguh dalam dirinya, dia akan menjadi seorang yang mampu untuk berkorban atas dasar mendapat keredaan Allah.

Seorang bapa dengan penuh keimanan akan berkorban sedaya upaya berusaha dalam mencari nafkah bagi keluarganya dan membangunkan mereka dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa apa saja usaha dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah dan dengan usahanya keluarga yang dibangunkan menjadi sebuah keluarga Islam yang boleh menjadi tunjang kekuatan masyarakat.

Begitu juga seorang ibu pastinya dengan keimanan yang teguh akan mendidik anak-anaknya dengan prinsip agama dan sentiasa berdoa kepada Allah agar menjadikan anak-anak itu orang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

Inilah pengorbanan yang sering kita lakukan. Pengorbanan ini akan lebih bermakna apabila tersemat di dalam hati bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan hanya untuk mendapatkan keredaan Allah.

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zali Engku Alwi

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
Ceriterakanlah kepada mereka kisah kedua putra Adam (Habil dan Kabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan kurban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Kabil). Ia berkata (Kabil): ""Aku pasti membunuhmu!"" Berkata Habil: ""Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa
(Surah Al-Maidah 5: Ayat 27)

Tuesday, November 1, 2011

KORBAN DUNIA UNTUK AKHIRAT

Melalui ibadah korban terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

"Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati".

(at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Korban adalah salah satu ibadat yang paling disukai Allah S.W.T. yang dilakukan oleh hambanya semata-mata kerana Allah, dan mengharapkan keredhaanNya. Binatang-binatang korban akan datang pada hari kiamat nanti kepada orang yang melakukannya dengan keadaan seperti asalnya. Darah korban itu terlebih dahulu jatuh ketempat yang disediakan oleh Allah S.W.T. sebelum ianya jatuh ke tanah. Darah yang menitis jatuh menjadi keampunan bagi dosa yang telah lalu. Islam menggalakkan umatnya agar berkorban dengan binatang yang disayangi dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.

Ibadah korban memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah SWT setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan, menjauhkan diri daripada Allah serta mengerjakan larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.

Amalan berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan hubungan manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Sementara amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhan) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Menurut Imam As-Syafiie, hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan umat Islam yang berada di kampung halaman sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama menyatakan ia wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Kautsar ayat 2 yang bermaksud: Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu)dan berkorbanlah.

وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِ‌ۚ فَإِنۡ أُحۡصِرۡتُمۡ فَمَا ٱسۡتَيۡسَرَ مِنَ ٱلۡهَدۡىِ‌ۖ وَلَا تَحۡلِقُواْ رُءُوسَكُمۡ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ ٱلۡهَدۡىُ مَحِلَّهُ ۥ‌ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ بِهِۦۤ أَذً۬ى مِّن رَّأۡسِهِۦ فَفِدۡيَةٌ۬ مِّن صِيَامٍ أَوۡ صَدَقَةٍ أَوۡ نُسُكٍ۬‌ۚ فَإِذَآ أَمِنتُمۡ فَمَن تَمَتَّعَ بِٱلۡعُمۡرَةِ إِلَى ٱلۡحَجِّ فَمَا ٱسۡتَيۡسَرَ مِنَ ٱلۡهَدۡىِ‌ۚ فَمَن لَّمۡ يَجِدۡ فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍ۬ فِى ٱلۡحَجِّ وَسَبۡعَةٍ إِذَا رَجَعۡتُمۡ‌ۗ تِلۡكَ عَشَرَةٌ۬ كَامِلَةٌ۬‌ۗ ذَٲلِكَ لِمَن لَّمۡ يَكُنۡ أَهۡلُهُ ۥ حَاضِرِى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah iaitu berpuasa atau bersedekah atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjidilharam (Mekah). Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).
(Surah Al-Baqrah 2: Ayat 196)

Monday, October 31, 2011

JODOH ♥♥ USAH MENCARI YANG "TERLALU SEMPURNA"


Jika kamu memancing ikan... Setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil ikan itu... Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula ke dalam air begitu saja.. Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu & mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.

Begitulah juga...setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang... Setelah ia mulai MENYAYANGIMU, hendaklah kamu MENJAGA hatinya... Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja... Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu, & mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu...

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya & janganlah menganggap ia begitu teguh...cukuplah sekadar keperluanmu... Apabila sekali ia retak...tentu sukar untuk kamu menambalnya semula... Akhirnya ia dibuang... Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya, mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi...

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya... Janganlah kamu terlalu mengaguminya & janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa... Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN, bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya... Akhirnya kamu KECEWA & meninggalkannya. Sedangkan, jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya....

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi, yang kamu pasti baik untuk dirimu... Mengenyangkan - Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain..?? Terlalu ingin mengejar kelazatan... KELAK.. Nasi itu akan basi & kamu tidak boleh memakannya... Lalu kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan, yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu. MENYAYANGIMU.. MENGASIHIMU... Mengapa kamu berlengah, cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain..?? Terlalu mengejar kesempurnaan... KELAK.. Kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain... Lalu kamu juga yang akan MENYESAL...!!

Saturday, August 20, 2011

Malam 1000 Bulan

Setiap orang yang beriman sentiasa menanti-nanti saat malam 10 akhir Ramadhan kerana padanya terdapat satu malam yang utama yang dinamakan "Malam al-Qadar".

Malam tersebut sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah dan RasulNya sebagai malam:

1) Allah turunkan padanya al-Quran (Surah al-Qadar: 1)

2) Beribadat padanya lebih baik daripada beribadat seribu bulan (Surah al-Qadar: 3)

3) Turun padanya para malaikat dan Jibril ke bumi membawa rahmat, keberkatan, ketenangan dan urusan taqdir Allah yang akan berlaku dalam setahun akan datang (Surah al-Qadar: 4, dan Surah ad-Dukhaa-n: 4,5)

4) Dipenuhi dan diliputi kesejahteraan hingga terbit fajar (Surah al-Qadar: 5)

5) Sesiapa yang beribadat padanya dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan baik/pahala dari Allah maka diampun baginya dosa-dosanya yang telah lalu (Riwayat al-Bukhari: 2014, Muslim: 760)

6) Terjadi pada malam yang ganjil (Riwayat al-Bukhari: 2018, Muslim: 1167)

Didalam usaha mencari Lailatul Qadar ini banyak khurafat, pegangan yang menyeleweng dan dogengan palsu yang tersebar didalam kitab-kitab dan cerita-cerita tentang alamat/tanda malam tersebut seperti pokok bersujud, air laut menjadi tawar, anjing tidak menyalak dan lain-lain lagi. Lebih dahsyat lagi di zaman kita ini tanda-tanda dongeng ini disebarkan oleh agamawan-agamawan yang tidak berdiri diatas disiplin ilmu yang berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah melalui media cetak dan elektronik. Dengan itu ia terus berkembang den tersebar sepanjang tahun apabila munculnya bulan Ramadhan.

Adalah mustahil malam yamg begitu besar kedudukan dan keutamaan ini tidak dijelaskan tanda-tandanya oleh Allah dan Rasul sehinggakan para agamawan boleh mencipta tanda-tandanya. Apa yang pasti Rasulullah SAW telah menjelaskan tanda-tanda malam tersebut di dalam hadith-hadith berikut:

Pertama: Hadith riwayat at-Thobaraa-ni (Jilid 22/mukasurat 59), Soheh al-Jaa-mi' (5472), ad-Dho'iefah (4404) Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Lailatul Qadar malamnya terang, tidak panas dan tidak sejuk, tiada lontaran tahi bintang dan tanda keesokkan harinya matahari terbit dalam keadaan suram cahayanya.

Di dalam riwayat ini terdapat beberapa tanda:

1) Malamnya terang (yakni langitnya terang, keadaan cuacanya baik)

2) Udara pada malam tersebut tidak panas dan tidak sejuk

3) Tiada lontaran tahi bintang di langit

4) Cahaya matahari keesokannya terbit dalam keadaan suram kekuning-kuningan kemerah-merahan

Kedua: Hadith riwayat at-Thoyaa-lisi (349), Ibnu Khuzaimah (2192), al-Bazzaa-r (1034) Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Lailatul Qadar malamnya rasa seronok, bercuaca baik, tidak panas dan tidak sejuk serta keesokannya matahari terpancar pada waktu pagi cahayanya lemah kemerah-merahan.

Sementara dalam riwayat ini terdapat satu lagi tanda:

5) Malam tersebut hati rasa seronok, tenang, tenteram, lazat beribadat kerana ramainya jumlah malaikat yang turun ke bumi

Demikian tanda-tanda yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW untuk mengenali Lailatul Qadar. Semestinya setiap ummat meninggalkan dogengan para agamawan yang mencipta dan menokok tambah sesuatu yang tidak ada asalnya di dalam Agama yang diturunkan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang mencintai dan menghidupkan sunnah RasulNya SAW.

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
[Surah Al-Qadr 97: Ayat 1-5]

Monday, August 15, 2011

Mencari Bonus Seribu Bulan

"Sesiapa bangun (untuk mengerjakan ibadah) pada malam al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Malam 1000 Bulan Gandaan

"Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan". (al-Qadar: 3)

Menurut kebanyakan ahli Tafsir, ayat ini memberi pengertian kepada kita bahawa beramal pada malam al-Qadar atau lailatul-Qadar lebih baik dari beramal selama 1000 bulan yang tidak ada lailatul-Qadar (malam al-Qadar) di dalamnya. (Rujuk: al-Asas fi at-tafsir, Said Hawa, surah al-Qadr)

"Sesiapa bangun (untuk mengerjakan ibadah) pada malam al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Menurut penjelasan beberapa hadis Rasulullah s.a.w., lailatul-Qadar ini terdapat di sepuluh malam terakhir Ramadhan iaitu pada malam-malam ganjil darinya. Kerana itulah, Rasulullah menggiatkan ibadahnya pada malam-malam tersebut termasuklah beriktikaf di masjid sebagaimana yang telah kita jelas tadi. Sabda baginda;

"Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)

"Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan". (Riwayat Imam Bukhari)

Menurut ulama', sekurang-kurangnya qiyam lailatil-Qadr (yakni bangun mengerjakan ibadah pada malam al-Qadar untuk mendapatkan kelebihannya) ialah dengan seseorang itu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjamaah. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam satu hadisnya;


"Sesiapa menunaikan solat Isyak berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail separuh malam. Dan sesiapa menunaikan solat subuh berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail keseluruhan malam". (Riwayat Imam Muslim dari Ustman r.a.)

Namun demikian, yang paling sempurna ialah dengan memenuhi keseluruhan malam atau sebahagian besarnya dengan solat, bacaan al-Quran, zikir atau seumpamanya dari jenis-jenis ketaatan. (Rujuk: at-Tajul Jami' Lil-Ushul, Syeikh Manshur 'Ali Nashif, jil. 2, hlm. 80)

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَاْنَ
"Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan".
(Riwayat Imam Bukhari)

Tuesday, August 9, 2011

ALLAH MAHA BESAR...
Tiada Bil Dari ALLAH, Maka Bersyukurlah.....

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah, Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai.

Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan, dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.

Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Setiap bulan pelbagai jenis bil akan menghiasi ruang hidup kita. Bil air, elektrik, insurans, kereta, cukai dan sebagainya. Kenapa perlu membayar bil?

Bil dibayar kerana kita telah mengunakan sumber atau perkhidmatan daripada pihak tertentu. Setiap perkhidmatan yang kita gunakan sudah tentu perlu dibayar.

Pembekal dan pengguna. Kitarannya adalah sama setiap masa.

Namun, sedarkah kita bahawa ada suatu perkhidmatan yang kita guna tanpa sebarang bayaran dari pembekalnya? Perkhidmatan itu ialah nikmat daripada Allah s.w.t. Segala macam nikmat yang diberikan Allah kepada kita, tanpa kita mengeluarkan satu sen pun.

Semuanya percuma. Ya, segala nikmat itu percuma maka sebab itulah kita semua jarang sekali bersyukur.

Cuba kita mengambil jalan untuk menghitung nikmat Allah. Pasti suatu yang mustahil kerana nikmat Allah itu sungguh luas dan tidak terkira banyaknya.

Firman Allah s.w.t :

"Dan sekiranya engkau menghitung nikmat-nikmat Allah, (pasti) ia tidak akan terhitung." [brahim:34]

Ini adalah antara nikmat Allah s.w.t kepada kita tanpa bayaran. Mari berfikir bersama-sama.

Nikmat Tubuh Badan

01. Mata
02. Telinga
03. Hidung
04. Tangan
05. Otak
06. Perut
07. Kaki dan anggota lain
08. Bernafas
09. Melihat
10. Mendengar
11. Merasa
12. Bau

Nikmat Pada Alam Untuk Manusia

1. Haiwan dan tumbuhan untuk makanan
2. Oksigen untuk pernafasan
3. Matahari untuk sumber cahaya
4. Air sebagai minuman
5. Tanah sebagai kediaman dan nikmat yang lainnya

Jadi cuba kita renungkan sebentar, antara nikmat yang disenaraikan di atas, yang mana satu kita keluarkan bayaran kepada Allah s.w.t.?

Tiada suatu pun yang kita bayar. Semuanya diberikan Allah untuk kita secara percuma namun mengapa sedikit sekali kita bersyukur.

Firman Allah s.w.t :

"Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur." [As-Sajdah:9]

Andai Allah s.w.t mengenakan bayaran di atas setiap nikmat yang diberikan pasti tiada siapa mampu membayarnya, hatta jutawan terkaya di dunia sekalipun. Sifirnya mudah sahaja, andaikan setiap nafas yang disedut dikenakan bayaran RM1.00 atau mungkin lebih rendah, RM0.10.

Dalam satu jam berapa kali anda bernafas? Satu bulan? Satu tahun? Selama hayat? Kajian menunjukkan manusia bernafas 18-30 ribu kali sehari. Itu hanyalah pernafasan.

Andaikan nikmat yang lain juga dibayar dengan kadar yang sama sahaja, kita tidak akan mampu membayarnya.

Allah berfirman dalam surah Yassin :

"Dan mereka memperoleh berbagai manfaat dan minuman darinya. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?" [Yassin:73]

Bayangkan pula jika bil yang Allah keluarkan tidak mampu kita bayar, dan tertunggak seperti bil air atau elektrik. Suatu masa bil amaran akan dikeluarkan untuk pemotongan.

Jika Allah melakukan sedemikian rupa, iaitu dengan memotong atau memberhentikan pemberian nikmat yang kita tidak bayar, bukankah kita pasti dalam ketakutan yang tidak dapat digambarkan?

Allah menggambarkan mereka yang tidak bersyukur adalah orang yang ingkar dan zalim dalam firman-Nya:

"Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)." [Ibrahim:34]

Nikmat yang tidak dibayar ini menjadikan kita lupa dan lalai. Bersyukurlah wahai diriku dan sekalian saudaraku.

Sekurang-kurangnya lafazkan ucapan Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah) yang dinyatakan dalam al-Quran hampir 21 kali.

Taatlah pada perintah-Nya dan tinggalkanlah apa yang dilarang. Itu adalah tanda syukur kita selain daripada ungkapan Alhamdulillah.

Moga redha Allah sentiasa bersama kita semua, hamba yang alpa lagi penuh noda.

Friday, July 29, 2011

AHLAN YA RAMADHAN....ALHAMDULILLAH

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Berbicara tentang Ramadhan, kebiasaannya itulah detik-detik terbaik seorang Muslim dalam setahun. Selama hampir 30 hari ia akan habiskan sebahagian masanya untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Rela atau terpaksa.

Musim ia mengingati Tuhannya, Penciptanya, Pemberi Rezeki dan nyawanya. Sedangkan seringkali ia lalai mengingatinya di bulan-bulan yang lain. Hebatnya Ramadhan.

Ramadhan dan puasa memaksa ia melawan nafsu, khususnya nafsu makan. Ajaibnya ia berjaya melakukannya. Dalam keadaan ikhlas atau terpaksa. Perkara yang sama hampir mustahil dilakukan di luar bulan Ramadhan kecuali mereka yang terlantar di ICU atau hilang selera makan. Hebatnya Ramadhan.

Ramadhan dan terawih mengajar ia menggandakan amalan. Bukan berpada dengan yang wajib, bahkan kena juga bagi ruang untuk yang sunat. Amalan ini menjadikan Imannya naik sedarjat dari bulan-bulan biasa. Waktu ini ia tahu jalan ke masjid. Kenal tuan imam. Tahu waktu solat terutamanya Subuh dan Maghrib. Yang mungkin selama hampir setahun ia tak ambil kisah. Bahkan bulan ini ia bergegas mencari jadual solat kerana di dalamnya tercatat waktu berbuka puasa. Adapun di bulan yang lain, jadual solat jarang sekali tergantung di dinding rumahnya. Hebatnya Ramadhan.

Ramadhan dan sungkai (berbuka puasa) mengajar Muslim erti kekeluargaan dan persaudaraan, kecuali yang mengekalkan sifat kedekutnya sanggup berbuka bersendirian. Bulan ini orang cepat balik ke rumah. Berbuka dengan isteri dan anak-anak. Waktu ini ramai ibu bapa yang baru faham gelagat dan sifat anak anak. Sudah agak lama tidak makan bersama. Waktu ini baru sedar akan kewujudan jiran sebelah, maklumlah setiap hari ia menghantar semangkuk juadah berbuka. Malu pula kalau dikembalikan kosong. Dulu, masing-masing sibuk bekerja. Keluar awal pagi dan pulang larut malam. Mencari rezeki. Ramadhan mengubah sekejap rentak hidup mereka. Hebatnya Ramadhan.

Itulah keseronokan bulan Ramadhan menurut pandangan Iman. Selagi masih ada Iman dan takwa (walau kadangkala tertutup oleh hubb al-dunia). Ramadhan pasti mengubahnya. Walau sekejap..

Bagi mereka yang Imannya sudah padam, mereka ini tidak mampu membezakan antara Ramadhan dan bulan biasa. Mereka ini tidak ada yang berubah. Kalau ia sedar pun cuma kerana wujudnya bazar Ramadhan di merata tempat. Menyeronokkannya membeli belah untuk berbuka sebelum tiba masanya. Orang ini sangat malang nasibnya. Sangat kecil akalnya walau memiliki ijazah peringkat tertinggi. Kalau Ramadhan pun tidak mampu mengubahnya, entah di bulan bila lagi ia mampu melakukannya?

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi seperti yang disebut dalam hadis:

عن جابر بن سمرة أتاني جبريل فقال : يا محمد ! من أدرك أحد والديه فمات فدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين قال : يا محمد من أدرك شهر رمضان فمات فلم يغفر له فأدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين قال : و من ذكرت عنده فلم يصل عليك فمات فدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين
Dari Jabir bin Samurah radhiyallahu'anhu, Rasulullah S.A.W bersabda: "Aku menjumpai Jibril, kemudian dia berkata: "Wahai Muhammad, barangsiapa yang menjumpai salah seorang dari kedua orang tuanya kemudian ia meninggal, kemudian ia dimasukkan ke Neraka, semoga Allah melaknatnya." Rasulullah S.A.W bersabda, "Amin." Jibril berkata, "Wahai Muhammad, barangsiapa yang menjumpai bulan Ramadhan kemudian ia meninggal, dan tidak diampunkan dosanya, maka dimasukkan ia ke Neraka, semoga Allah melaknatnya." Rasulullah S.A.W, "Amin." Jibril berkata, "Wahai Muhammad, barangsiapa yang engkau disebutkan padanya ia tidak berselawat kemudian meninggal dan dimasukkan ke Neraka, semoga Allah melaknatnya." Rasulullah S.A.W, "Amin."
al-Jami'ush Shoghir wa Ziyadatuhu 75 (1/8)
(Hadis riwayat An-Nasaie)

 

blogger templates | Make Money Online