BERKONGSI NIKMAT IMAN, ISLAM ALLAHHU AKBAR

Saturday, August 20, 2011

Malam 1000 Bulan

Setiap orang yang beriman sentiasa menanti-nanti saat malam 10 akhir Ramadhan kerana padanya terdapat satu malam yang utama yang dinamakan "Malam al-Qadar".

Malam tersebut sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah dan RasulNya sebagai malam:

1) Allah turunkan padanya al-Quran (Surah al-Qadar: 1)

2) Beribadat padanya lebih baik daripada beribadat seribu bulan (Surah al-Qadar: 3)

3) Turun padanya para malaikat dan Jibril ke bumi membawa rahmat, keberkatan, ketenangan dan urusan taqdir Allah yang akan berlaku dalam setahun akan datang (Surah al-Qadar: 4, dan Surah ad-Dukhaa-n: 4,5)

4) Dipenuhi dan diliputi kesejahteraan hingga terbit fajar (Surah al-Qadar: 5)

5) Sesiapa yang beribadat padanya dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan baik/pahala dari Allah maka diampun baginya dosa-dosanya yang telah lalu (Riwayat al-Bukhari: 2014, Muslim: 760)

6) Terjadi pada malam yang ganjil (Riwayat al-Bukhari: 2018, Muslim: 1167)

Didalam usaha mencari Lailatul Qadar ini banyak khurafat, pegangan yang menyeleweng dan dogengan palsu yang tersebar didalam kitab-kitab dan cerita-cerita tentang alamat/tanda malam tersebut seperti pokok bersujud, air laut menjadi tawar, anjing tidak menyalak dan lain-lain lagi. Lebih dahsyat lagi di zaman kita ini tanda-tanda dongeng ini disebarkan oleh agamawan-agamawan yang tidak berdiri diatas disiplin ilmu yang berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah melalui media cetak dan elektronik. Dengan itu ia terus berkembang den tersebar sepanjang tahun apabila munculnya bulan Ramadhan.

Adalah mustahil malam yamg begitu besar kedudukan dan keutamaan ini tidak dijelaskan tanda-tandanya oleh Allah dan Rasul sehinggakan para agamawan boleh mencipta tanda-tandanya. Apa yang pasti Rasulullah SAW telah menjelaskan tanda-tanda malam tersebut di dalam hadith-hadith berikut:

Pertama: Hadith riwayat at-Thobaraa-ni (Jilid 22/mukasurat 59), Soheh al-Jaa-mi' (5472), ad-Dho'iefah (4404) Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Lailatul Qadar malamnya terang, tidak panas dan tidak sejuk, tiada lontaran tahi bintang dan tanda keesokkan harinya matahari terbit dalam keadaan suram cahayanya.

Di dalam riwayat ini terdapat beberapa tanda:

1) Malamnya terang (yakni langitnya terang, keadaan cuacanya baik)

2) Udara pada malam tersebut tidak panas dan tidak sejuk

3) Tiada lontaran tahi bintang di langit

4) Cahaya matahari keesokannya terbit dalam keadaan suram kekuning-kuningan kemerah-merahan

Kedua: Hadith riwayat at-Thoyaa-lisi (349), Ibnu Khuzaimah (2192), al-Bazzaa-r (1034) Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Lailatul Qadar malamnya rasa seronok, bercuaca baik, tidak panas dan tidak sejuk serta keesokannya matahari terpancar pada waktu pagi cahayanya lemah kemerah-merahan.

Sementara dalam riwayat ini terdapat satu lagi tanda:

5) Malam tersebut hati rasa seronok, tenang, tenteram, lazat beribadat kerana ramainya jumlah malaikat yang turun ke bumi

Demikian tanda-tanda yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW untuk mengenali Lailatul Qadar. Semestinya setiap ummat meninggalkan dogengan para agamawan yang mencipta dan menokok tambah sesuatu yang tidak ada asalnya di dalam Agama yang diturunkan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang mencintai dan menghidupkan sunnah RasulNya SAW.

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
[Surah Al-Qadr 97: Ayat 1-5]

Monday, August 15, 2011

Mencari Bonus Seribu Bulan

"Sesiapa bangun (untuk mengerjakan ibadah) pada malam al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Malam 1000 Bulan Gandaan

"Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan". (al-Qadar: 3)

Menurut kebanyakan ahli Tafsir, ayat ini memberi pengertian kepada kita bahawa beramal pada malam al-Qadar atau lailatul-Qadar lebih baik dari beramal selama 1000 bulan yang tidak ada lailatul-Qadar (malam al-Qadar) di dalamnya. (Rujuk: al-Asas fi at-tafsir, Said Hawa, surah al-Qadr)

"Sesiapa bangun (untuk mengerjakan ibadah) pada malam al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Menurut penjelasan beberapa hadis Rasulullah s.a.w., lailatul-Qadar ini terdapat di sepuluh malam terakhir Ramadhan iaitu pada malam-malam ganjil darinya. Kerana itulah, Rasulullah menggiatkan ibadahnya pada malam-malam tersebut termasuklah beriktikaf di masjid sebagaimana yang telah kita jelas tadi. Sabda baginda;

"Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)

"Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan". (Riwayat Imam Bukhari)

Menurut ulama', sekurang-kurangnya qiyam lailatil-Qadr (yakni bangun mengerjakan ibadah pada malam al-Qadar untuk mendapatkan kelebihannya) ialah dengan seseorang itu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjamaah. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam satu hadisnya;


"Sesiapa menunaikan solat Isyak berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail separuh malam. Dan sesiapa menunaikan solat subuh berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail keseluruhan malam". (Riwayat Imam Muslim dari Ustman r.a.)

Namun demikian, yang paling sempurna ialah dengan memenuhi keseluruhan malam atau sebahagian besarnya dengan solat, bacaan al-Quran, zikir atau seumpamanya dari jenis-jenis ketaatan. (Rujuk: at-Tajul Jami' Lil-Ushul, Syeikh Manshur 'Ali Nashif, jil. 2, hlm. 80)

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَاْنَ
"Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan".
(Riwayat Imam Bukhari)

Tuesday, August 9, 2011

ALLAH MAHA BESAR...
Tiada Bil Dari ALLAH, Maka Bersyukurlah.....

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah, Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai.

Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan, dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.

Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Setiap bulan pelbagai jenis bil akan menghiasi ruang hidup kita. Bil air, elektrik, insurans, kereta, cukai dan sebagainya. Kenapa perlu membayar bil?

Bil dibayar kerana kita telah mengunakan sumber atau perkhidmatan daripada pihak tertentu. Setiap perkhidmatan yang kita gunakan sudah tentu perlu dibayar.

Pembekal dan pengguna. Kitarannya adalah sama setiap masa.

Namun, sedarkah kita bahawa ada suatu perkhidmatan yang kita guna tanpa sebarang bayaran dari pembekalnya? Perkhidmatan itu ialah nikmat daripada Allah s.w.t. Segala macam nikmat yang diberikan Allah kepada kita, tanpa kita mengeluarkan satu sen pun.

Semuanya percuma. Ya, segala nikmat itu percuma maka sebab itulah kita semua jarang sekali bersyukur.

Cuba kita mengambil jalan untuk menghitung nikmat Allah. Pasti suatu yang mustahil kerana nikmat Allah itu sungguh luas dan tidak terkira banyaknya.

Firman Allah s.w.t :

"Dan sekiranya engkau menghitung nikmat-nikmat Allah, (pasti) ia tidak akan terhitung." [brahim:34]

Ini adalah antara nikmat Allah s.w.t kepada kita tanpa bayaran. Mari berfikir bersama-sama.

Nikmat Tubuh Badan

01. Mata
02. Telinga
03. Hidung
04. Tangan
05. Otak
06. Perut
07. Kaki dan anggota lain
08. Bernafas
09. Melihat
10. Mendengar
11. Merasa
12. Bau

Nikmat Pada Alam Untuk Manusia

1. Haiwan dan tumbuhan untuk makanan
2. Oksigen untuk pernafasan
3. Matahari untuk sumber cahaya
4. Air sebagai minuman
5. Tanah sebagai kediaman dan nikmat yang lainnya

Jadi cuba kita renungkan sebentar, antara nikmat yang disenaraikan di atas, yang mana satu kita keluarkan bayaran kepada Allah s.w.t.?

Tiada suatu pun yang kita bayar. Semuanya diberikan Allah untuk kita secara percuma namun mengapa sedikit sekali kita bersyukur.

Firman Allah s.w.t :

"Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur." [As-Sajdah:9]

Andai Allah s.w.t mengenakan bayaran di atas setiap nikmat yang diberikan pasti tiada siapa mampu membayarnya, hatta jutawan terkaya di dunia sekalipun. Sifirnya mudah sahaja, andaikan setiap nafas yang disedut dikenakan bayaran RM1.00 atau mungkin lebih rendah, RM0.10.

Dalam satu jam berapa kali anda bernafas? Satu bulan? Satu tahun? Selama hayat? Kajian menunjukkan manusia bernafas 18-30 ribu kali sehari. Itu hanyalah pernafasan.

Andaikan nikmat yang lain juga dibayar dengan kadar yang sama sahaja, kita tidak akan mampu membayarnya.

Allah berfirman dalam surah Yassin :

"Dan mereka memperoleh berbagai manfaat dan minuman darinya. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?" [Yassin:73]

Bayangkan pula jika bil yang Allah keluarkan tidak mampu kita bayar, dan tertunggak seperti bil air atau elektrik. Suatu masa bil amaran akan dikeluarkan untuk pemotongan.

Jika Allah melakukan sedemikian rupa, iaitu dengan memotong atau memberhentikan pemberian nikmat yang kita tidak bayar, bukankah kita pasti dalam ketakutan yang tidak dapat digambarkan?

Allah menggambarkan mereka yang tidak bersyukur adalah orang yang ingkar dan zalim dalam firman-Nya:

"Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)." [Ibrahim:34]

Nikmat yang tidak dibayar ini menjadikan kita lupa dan lalai. Bersyukurlah wahai diriku dan sekalian saudaraku.

Sekurang-kurangnya lafazkan ucapan Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah) yang dinyatakan dalam al-Quran hampir 21 kali.

Taatlah pada perintah-Nya dan tinggalkanlah apa yang dilarang. Itu adalah tanda syukur kita selain daripada ungkapan Alhamdulillah.

Moga redha Allah sentiasa bersama kita semua, hamba yang alpa lagi penuh noda.

 

blogger templates | Make Money Online